Monday, 20 August 2012

Bab 2


-Dua-
Raja Nyamuk punya legasi ceriteranya yang tersendiri, panjang sejarahnya. Setakat yang tercatat juga sudah panjang apatah lagi yang sebelumnya. Kisah raja-raja nyamuk dan keturunannya sepanjang sejarah kenyamukan ada yang boleh dibanggakan seperti nyamuk yang saleh lagi taat kepada perintah Allah seperti nyamuk yang membunuh Namrud ribuan tahun dahulu, tidak dinafikan kegagahan dan kekentalan moyang nyamuk itu menjadi legenda sepanjang zaman kepada kaum nyamuk seluruh dunia. Meskipun moyang nyamuk itu tidak diketahui spesis apa, namun mereka semua tetap berbangga.
            Khabarnya dahulu, sebelum kaum nyamuk keturunan Raja Nyamuk yang kita bicarakan dalam cerita ini bermigrasi dan membuka penempatan baru berdekatan dengan bilik gelap itu, moyang mereka sebenarnya berasal dari seberang. Asal keturunan, tamadun dan budaya yang berbeda sama sekali yang ada sekarang ini. Malah agama mereka juga berbeza sama sekali. Dahulu kala mereka menyembah berhala-berhala atau patung yan diukir cantik seni halusnya yang dinisbahkan kepada dewa dan dewi sebagaimana yang mereka percayai. Malah sebuah monumen agung zaman berzaman masih ada di sana sebagai tanda bahawa agama tersebut memang mendominasi alam mereka seberang sana.
            Peperangan demi peperangan dilalui atas dasar perluasan kuasa dan pengaruh, malah pelbagai teknik dan taktik politik ketenteraan dan kenegaraan dilakukan antaranya adalah bayaran ufti kepada negara yang lebih hebat untuk dianggap sebagai negeri bawah naungan, ada kalanya anak gadis khususnya puteri-puteri kerabat sendiri yang dijadikan tali pengikat kepada jalinan politik. Kadang-kadang dengan menghadiahkan hadiah yang muluk-muluk dan indah-indah bagi mnegambil hati seterusnya menjadi sekutu dan banyak lagi caranya yang kadang-kadang masih diguna pakai pada hari ini pastinya.
            Pada suatu masa peperangan demi peperangan berlaku, meskipun sebuah negara yang hebat dan berkuasa, namun adat dunia pasang surutnya air boleh dijadikan sebagai imbalan. Kalau mahu dibicarakan mengenai faktor, memang banyak. Antara faktor terbesar yang menentukan jatuh bangunnya sebuah empayar dan tamadun adalah faktor kepemimpinan mereka yakni raja mereka sendiri. Mungkin itu adalah faktor dalaman yang terbesar dan faktor luaran yang terbesar adalah kekuatan musuh yang melebihi kekuatan bala tentera yang ada. Peperangan memang aktiviti yang mewarnai sejarang sepanjang zaman. Malah kehebatan ketamadunan Rom, Parsi, China dan India juga adalah merujuk kepada keluasan empayar mereka sekali gus kepada kekuatan ketenteraan yang mereka ada sehingga mampu menundukkan sesiapa sahaja yang mereka nampak.
            Banyak hero dan banyak kisah sudah tercatit malah banyak lagi yang hilang dan dihilangkan dengan sengaja atau sebaliknya. Kisah-kisah lalulah yang melatari pembangunan ketamdunan, budaya, pemikiran keturunan mereka pada hari ini termasuk juga komuniti nyamuk yang tinggal berhampiran bilik gelap itu.
            Nyamuk-nyamuk semuanya tahu sejarah penghijrahan keturunan mereka ke situ. Ya, mulanya dengan kekalahan dan kecundangan mempertahankan tanah asal mereka yang dicerobohi seterusnya moyang mereka segelintirnya berusaha menyelamatkan diri daripada serangan dan kematian. Nah, di sini kita lihat dalam mana-mana peperangan sekali pun. Apabila sampai ke kemuncaknya yakni negara, kota kemudian istana mereka diceroboh musuh mesti yang dilarikan atau mereka yang mahu lari menyelamatkan diri adalah Raja mereka dan paling tidak anak beranak mereka. Pada masa itu, sesekali pernahkah mereka terfikirkan bagaimana rakyat yang ditinggalkan? Dibunuh, dirogol dan dihina sedangkan si Raja dan keluarga lari menyelamatkan diri ke hutan.
            Sekali fikir, apakah itu sikap yang sewajarnya untuk seorang pemimpin dan raja? Lari menyelamatkan diri sendiri dan keluarganya sahaja selain daripada mereka yang boleh diguna pakai. Sewajarnya begitukah sikap yang paling sesuai? Mungkin ada yang berbahas, ya, seorang pemimpin dan raja mestilah seorang yang berfikiran jauh sejauh rembulan sabit dan mentari gerhana. Andainya dia bertahan dan dirinya terkorban, siapa pula dikatakan akan menerajui dan mengumpul semula kekuatan untuk melawan dan merampas balik wilayah mereka yang sudah dirampas musuh? Malah kadang-kadang digambarkan dalam filem-filem bikinan Barat, sang raja akan berat hati untuk meninggalakan rakyat jelatanya namun dipaksa oleh rakyat yang sudi berkorban untuk mereka. Yang mana betul? Semuanya sudah jadi sejarah dan sejarah ditulis oleh mereka yang menang.
            Itu adalah hakikat.
            Maka kumpulan moyang nyamuk yang lari meinggalkan tempat asal mereka, terbang jauh menyeberangi ke belah sini. Lantas ketika sedang mereka berehat-rehat maka terjadilah perkata yang tersangat aneh pada pandangan Raja Nyamuk pada masa itu. Seekor Cengkadak kelihatan sedang diburu oleh seekor Kata Gomok yang besar dan hodohnya bukan alang kepalang, selepas mencuba beberapa kali melastik Cengkadak dengan jurus lidah getah bergulung liur sakti namun tidak berjaya, Katak Gomok menjadi geram dan naik syeikh. Asal kulitnya yang berwarna gelap dan bergerutu menjadi merah, matanya yang kuning hijau menjadi biru akibat marahnya yang amat kerana tidak berjaya lagi menewaskan Cengkadak.
            Cengkadak kelihatan tenang dan sempoi sahaja. Setiap kali jurus lidah getah bergulung liur sakti dilepaskan ia dengan tenang melompat ke  kiri dan kanan, malah kadang-kadang membuat lompatan sambil membuat balikan 180 darjah dari daun ke daun. Sekalian nyamuk melihat dengan penuh teruja dan bersorak-sorailah mereka dan suasana menjadi gegak gempita.  Katak Gomok semakin menjadi geram, serangan diperpesatkan namun tetap juga berjaya dielakkan oleh Cengkadak. Lama kelamaan Katak Gomok menjadi letih dan warnanya tidak lagi segarang tadi, melihat kepada hal demikian. Cengkadak kemudian seakan mengambil langkah yang lebih agresif dengan lompatan-lompatan yang mengelirukan dan tidak berjejak di bumi, kalau manusia boleh diibaratkan sebagai sedang mabuk – makanya mungkin ini adalah mula cerita bagaimana jurus Cengkadak dalam Kung Fu mabuk orang Cina direka dan kemudian menjadi satu jurus legenda selain daripada jurus-jurus hikmat yang menggunakan mitos dewa dewi, jurus yang diadaptasi daripada binatang dan serangka lebih dulu mendominasi. Kalau tidak percaya boleh rujuk filem-filem kung fu khusunya yang retro, setiap hari Ahad, TV 7.
            Katak Gomok semakin kelelahan, sudah banyak air liurnya dibazirkan tanpa mengenai sasaran iaitu Cengkadak, seketika kemudian Katak Gomok terdiam dan tidak lagi mampu bergerak dan ketika itulah, saat keemasan dan paling baik untuk Cangkadak mengambil tindakan K.O. kepada Katak Gomok. Keadaan menjadi sangat getir, suasana di pinggiran semak-samun itu menjadi gentir, khali... hanya angin sahaja yang terus memainkan peranan dan dedaun berlagaan sesama sendiri sahaja yang berani bersuara sedangkan kaum nyamuk masih tetap mengapungkan diri tanpa sound effect seperti biasa.
            Kalaulah hati sekalian nyamuk boleh dilihat pada waktu itu pastinya lebih sama kurang dengan hati seorang manusia yang takut saat tahu mereka akan mati sebentar lagi dan sememangnya pertarungan antara Katak Gomok dan Cengkadak yang sedang mereka saksikan pastinya berkaitan dengan hidup dan mati, memang menjadi kebiasaan pada zaman tersebut, dunia kependekaran mereka dibauri dengan kejadian berdarah dan berbunuhan sesama demi hanya untuk mempamerkan kekuatan, kekuasaan dan kesaktian masing-masing. Untuk apa faedahnya, tiada lain melainkan nama, pengaruh dan ketersohoran meskipun akhirnya tiada guna kesemua jenis perkara itu.
            Tiba-tiba mereka dikejutkan oleh raungan keras yang memetir suasana bening itu, rupanya Cengkadak sudah ambil langkah utama dan melompat dengan tinggi. Mereka menebak bahawa Cengkadak mahu menyerang dari udara dengan kepantasan hunjaman yang bercampur tarikan graviti semula jadi. Lompatan Cengkadak amatlah tinggi sehingga sekalian nyamuk tidak dapat melihat susuk tubuh Cengkadak yang keding itu di awangan, beberapa saat kemudian barulah kelihatan ia sedang menjunam laju dan dalam hati para nyamuk sekalian pastilah maut natijahnya Cengkodok itu.
            Junaman semakin hampir, dalam masa beberapa saat sahaja lagi akan singgahlah serangan itu ke tubuh Cengkodok dan alamatnya... bommmmm!!!!!! Sungguh kuat bunyi dentuman itu, berkecaikah tubuh Kata Gomok? Sekalian nyamuk terhumban ke belakang meskipun mereka sudah berada di tempat yang agak jauh dari pertarungan belaku. Nyamuk-nyamuk bangkit dengan mata terpisat-pisat, debuan yang berterbangan akibat letusan yang berlaku sedikit demi sedikit reda. Nyamuk-nyamuk sekalian sudah berada simpati kepada Katak Gomok, walaupun ia hodoh dan nampak jahat namun ia tetap adalah hidupan ciptaan Tuhan yang punya hak. Namun dia memilih jalan pendekar dan menjadikan pertarungan sebagai jalannya mencari kehidupan, pastinya cabaran pada jalan itu juga perlu ia hadapi.
            Tiba-tiba, mereka semua dikejutkan suara ketawa berdekah-dekah dari balik debu dan habuk yang beterbangan. Sekalian nyamuk hairan, Sang Raja seperti biasa segera mengarahkan hulubalangnya agar menyiasat. Kalau mati pun mati mereka dulu, Raja Nyamuk tidak mahu ambil apa-apa risiko. Seketika kemudian, seekor sahaja hulubalang nyamuk kembali melapor, dalam keadaan yang tercungap-cungap dia ingin melapor dan dalam masa yang sama juga Raja Nyamuk perasan bahawa seekor daripada hulubalangnya sudah tiada... hulubalang yang kembali masih tercungap-cungap tidak dapat berkata-kata, semua nyamuk tertumpu kepadanya. Dek kerana tidak sabar lagi menunggu, Raja Nyamuk membuat kesimpulan mudah, hulubalangnya sudah kena bunuh oleh Cengkadak selepas Katak Gomok dibunuhnya juga. Hutang darag berbalas darah, meskipun darah Cengkadak tiada nilai buat mereka kerana tidak boleh dimakan namun dendam yang baru tumbuh wajar dilunas segera!
            Raja Nyamuk pada masa itu sudah naik taik minyak dan mengarahkan seluruh rakyat nyamuk sekalian pergi menyerbu kea rah Cengkadak dengan arahan – Jangan biarkan jasadnya berkubur sekalipun!
            Apabila sampai dekat dengan tempat berlakunya pertarungan tadi semua nyamuk jadi terpinga-pinga khususnya Raja Nyamuk, semuanya terhenti dan berpandangan sesama sendiri melihat apa yang ada di depan mata mereka. Cengkadak dan Katak Gomok yang bertarung tadi sedang bergelak sakan malah sedang bergurau senda! Apabila menyedari mereka ada tetamu, Cengkadak dan Katak Gomok berpaling menghadap kepada gerombolan nyamuk dalam keadaan terpinga-pinga namun terus berhati-hati.
            Seketika kemudian, keluar hulubalang yang disangka mati terbunuh sebentar tadi dalam keadaan terhuyung-hayang. Suasana menjadi semakin gempar. Dengan perlahan-lahan hulubalang nyamuk yang kedua datang menyiasat datang menyembah dan berbisik kepada Raja Nyamuk – Tuanku, sebenarnya Cengkadak dan Katak Gomok adalah saudara seperguan dan pertarungan tadi adalah latihan yang sedang mereka jalani atas arahan guru mereka. Dan saudara hamba yang tuanku ingatkan mati dibunuh sebenar sakit perut dan pergi melepaskan hajat di balik sana semasa hamba pulang melaporkan khabar ini kepada tuanku. Hamba pula tak dapat nak bercakap tadi sebab hamba memang ada penyakit asma, tiba-tiba pula ia menyerang tadi!
            Suasana khali....
            Raja Nyamuk kemudian berkata sambil menahan tawa dan malu – Keliru... keliru... keliru... ya! Kalau begitu kita namakan tempat ini sebagai Keliru. Negara baru kita! Sekalian nyamuk bersorak namun tiba-tiba terdengar suara menyindir. – Eh, eh... sedap-sedap tuan hamba sahaja, datang tidak berjemput tiba-tiba isytiharkan tempat ini sebagai tanah milik tuan hamba. Katak Gomok meripitkan mata mengerling dan bersedia untuk sebarang kemungkinan.
            Baru Raja Nyamuk sedar, mereka sebenarnya datang merempat di tempat bukan milik sesiapa dan tempat itu sudah ada yang ada, justeru undang-udang hutan kata sesiapa yang terawal dialah yang punya, jadi sekarang mereka bukan yang terawal. Kerana saat mereka sampai, kedua Cengkadak dan Katak Gomok sudah bertarung di sana. Jadi kerana tidak mahu jatuh air mukanya, ligat kepala otak Raja Nyamuk memikirkan jalan bagi menjayakan titahnya. Pantang keturunan raja tatkala titah yang dijatuhkan malah sudah terjunjung oleh orang bawahan tiba-tiba disanggah oleh orang luar. Mana daulat, mana keramat. Hilanglah haibah dan pesonafikasi dirinya pada khalayak jelata nyamuk. Dalam berfikir-fikir, dia kemudian berkata dengan lantangnya – Tuan hamba berdua siapakah gerangan dan bagaimana tuan hamba berdua sampai ke sini?
            Katak Gomok kemudian menjawab dengan berkata bahawa mereka berdua dalam perjalanan pulang ke tanah tumpah darah mereka selepas bertahun-tahun berguru dengan seorang pendeta di puncak gunung yang paling tinggi di tanah itu. Nadanya masih dalam keadaan menyombong diri. Cengkerik juga menjawab dengan nada yang hampir sama. Justeru, tahulah Raja Nyamuk bahawa kedua mereka memang bukan calang-calang pendekar kerana mendapat suluhan dan didikan daripada pendeta yang sedia dikenali kehebatannya di serantau tanah bahasa mereka.
            Pendeta Mambang!
            Raja Nyamuk cuba mencari helah, bagi beliau mengabsahkan perisytiharan yang dilakukannya sebentar tadi. Iaitu tanah itu mereka yang punya. Dalam ramai-ramai yang dibawa bersama Raja Nyamuk adalah Mufti Diraja Nyamuk dan Pawang Diraja Nyamuk. Keduanya setia berkhidmat kepada Raja Nyamuk meskipun mereka berdua berseteru antara satu sama lain, namun keduanya sangat disayangi oleh Raja Nyamuk malah sering dirujuk dan disuruhkan bila perlu sahaja kadang-kadang. Nanti cerita mereka satu persatu akan diriwayatkan di sini, dengan izin Tuhan.
            Tidak semena-mena datang ilham dari Tuhan kepada Raja Nyamuk, dia kemudian berkata kepada kedua Katak Gomok dan Cangkadak itu apakah mereka sudi untuk beradu tenaga dengannya. Dengan angkuh dan tawa sinis kedua mereka menyatakan kesanggupan. Jadi pertandingannya adalah siapa yang lebih tinggi melompat dan tahan lama di udara! Katak Gomok terbeliak biji mata, kerana tahu mustahil untuknya melakukan yang demikian, lihat sahaja tubuh badannya yang besar gedempol itu. Harapannya adalah pada Cengkadak yang lebih ringan dan ramping, katih lebih panjang untuk menolak badan bagi melakukan lompatan malah cengkadak mempunyai sayap sebenarnya di atas belikatnya.
            Persetujuan dicapai dan Raja Nyamuk sendiri yang akan bertanding bagi memperlihatkan kehebatannya di depan para jelata nyamuk. Kedua mereka bersedia dan tiada pengadil melainkan kesemua mereka yang melihat sahaja akan tahu kesudahannya. Satu, dua dan mula! Cengkadak mengumpul segala tenaga pada peha dan betisnya lantas menghunjankan kedua katihnya ke atas dan pastinya dengan segera ia melompat setinggi yang boleh, ia mendapat tepukan gemuruh atas kehebatannya itu. Sahabat perguruannya, Katak Gomok bertepuk tangan dan tersenyum sendiri manakala Raja Nyamuk pun melakukannya aksi yang sama namun peliknya ia kelihatan sangat cool. Katak Gomok sudah perasankan sesuatu yang pelik sehari dua ini....
           

Bab 1


-Satu-
Julai 2013.
            Keadaan gelap gelita. Bau hancing menangkap rongga hidung tidak terkata. Dengungan nyamuk mengganas, tidak kenal erti gentar lagi kepada makhluk yang bernama manusia. Dalam bilik kecil enam kali empat, tandanya di situ tempat tidurnya, juga di situ malah tempat beribadahnya juga di situ… sang nyamuk seakan berkata, ini adalah tempat aku, bukan tempat kamu. Mungkin dendam selama ini terbalas sedikit sebanyak, dendam pembunuhan spesis mereka zaman berzaman oleh manusia. Tambah pula manusia yang tamak dan jahat!
            Ada sekujur tubuh di situ, melihat kepada kelibatnya ternyata bukan calang-calang orang. Tubuhnya agak besar gedembol, macam orang kaya-kaya. Boleh makan segala yang mahu, kulitnya badan khususnya muka juga putih kemerah-merahan. Nampak sangat keturunan ada-ada, keturunan bangsawan aristokrat. Rambutnya agak kusut-masai dan misai serta anak-anak jambang dan janggut tumuh melata dan merawak entah kemana tujuannya, sudah beberapa lama tiada kemasan dan perapian seperti masa lalu. Pakaiannya pun nampaknya tidak ubah dan tidak lain dengan rakan-rakan sepenghuni yang lain, cuma istimewanya dia tidak pernah berjumpa sekali pun dengan rakan-rakan sepenghuni di situ.
            Tiba-tiba ada seekor nyamuk, membuat terjunan berani mati ala Kamikaze ke bahagian yang sangat strategik, iaitu di pangkal punggung belah belakang., tersentak jasad itu. Segera dihayunkan tangan kiri ingin menampar si nyamuk itu. Ternyata nyamuk itu lebih licik, seakan dapat merasakan aura daripada telapak tangannya, pap! Nul sasaran. Nyamuk itu ketawa berdekah-dekah mengejek, mungkin katanya dalam hati – kan aku sudah kata, ini kawasan aku, bukan kawasan kamu. Dulu kamu angkuh dan sombong dengan apa yang kamu ada, sekarang kamu lebih tidak bernilai berbanding kami kaum nyamuk.
            Nyamuk itu seakan tidak puas hati dan terus merampos – walaupun kamu manusia dan kami hanyalah nyamuk daripada jenis serangga. Namun jangan pernah kamu lupa dan terus angkuh sombong. Moyang kami mampu menumpaskan seorang raja yang hebat pada zamannya bergelar Namrud. Moyang lami yang legenda itu hanya dengan dirinya sendiri sahaja menjalankan operasi berani mati tersebut atas arahan De Bos.
            Ya, dahulu dia ada-ada. Senang hidupnya. Anak-anak dan isteri semuanya ‘bahagia’. Pernah dibikin video dengan mengupah entah pencacai mana untuk buat video klip nyanyian isterinya sendiri. Entah apa tajuknya, lagu Inggeris. Dipotret dan diwayangkan segala macam kebaikan mereka anak beranak dalam kehidupan seharianya. Si isteri digambarkan seronok menjadi suri rumah menguruskan rumah tangga dan sentiasa bertanya khabar kepada anak-anak mereka dan kemudian si suami balik ke rumah untuk makan tengah hari. Ah, indah… sungguh indah… lagipun rumah tempat mereka buat pergambaran adalah rumah rasmi nan indah itu.
            Tapi… layan jugalah, memang wajar dipuji si pengarah dan penyunting video. Memang menjadi. Mereka kelihatan sangat-sangat bahagia, tersenyum sana tersenyum sini. Bersalaman dan berciuman berlaga pipi. Wah, memang wajar menjadi keluarga contoh nan bahagia sentiasa adanya. Rasanya kalau cari dalam Youtube masih ada lagu itu, sekejap mahu cari sebentar nanti disambung cerita ini… hmmmmmm… sekejap ya… hmmm, okey… ya, ini dia. Bolehlah tuan puan yang budiman tekan atau cari sahaja tajuk lagi If Tomorrow Never Comes di Youtube ada.
            Apa? Kenapa dalam bahasa Inggeris. Ah, macam kita semua tidak tahu. Bahasa Melayu sudah lama dimatikan dan dibunuh oleh golongan anglo-western ini, Rupa Melayu jiwa barat, cakap Melayu pelat, otak penuh dengan isme sesat! Tapi apapun hayatilah liriknya, agak menyentuh hati bersadur pula lunak suara isteri yang lemak perdu itu… fuhhhh….
Sometimes late at night
I lie awake and watch her (him) sleeping
She's (He’s) lost in peaceful dreams
So I turn out the lights and lay there in the dark
And the thought crosses my mind
If I never wake up in the morning
Would she (he) ever doubt the way I feel
About her (him) in my heart

If tomorrow never comes
Will she (he) know how much I loved her (him)
Did I try in every way to show her every day
That she's (he’s) my only one
And if my time on earth were through
And she must face this world without me
Is the love I gave her (he) in the past
Gonna be enough to last
If tomorrow never comes

'Cause I've lost loved ones in my life
Who never knew how much I loved them
Now I live with the regret
That my true feelings for them never were revealed
So I made a promise to myself
To say each day how much she means to me
And avoid that circumstance
Where there's no second chance to tell her how I feel

If tomorrow never comes
Will she know how much I loved her
Did I try in every way to show her every day
That she's (he’s) my only one
And if my time on earth were through
And she must face this world without me
Is the love I gave her (he) in the past
Gonna be enough to last
If tomorrow never comes

So tell that someone that you love
Just what you're thinking of
If tomorrow never comes

            Rupanya ini adalah lagu nyanyian Ronan Keating. Sungguh lunak dan indah susunan bahasa liriknya. Memang kena lagu ini dinyanyikan saat dia sedang berada-ada dulu. Namun kini semuanya menjadi kenangan. Isteri dan anak-anak sudah tiada di sisinya, entah di mana. Ada khabar kata sekarang ini sudah bermastautin di pinggir Bollywood. Kerana isteri dia khabarnya sangat sukakan sekalian artis Bollywood, pernah hampir sepeluknya seorang artis jantan Bollywood yang bertubuh pandak namun sasa itu, berlakon pun sentiasa nak tunjuk badan yang punya ketul-ketul itu. kalau pakai baju, sama ada tidak berkancing dan singlet atau jenis baju lutsinar, boleh nampak tubuh badannya juga!
            Ya, mungkin mereka akan terus setia menanti dan mengharap, namun sampai bila. Kesudahan dalam bilik kecil yang azab ini tidak ketahuan bila berakhirnya. Segala kenangan itu menyerbu tanpa belas kasihan ke dalam benak dia. Dia cuba tepis, namun apakah daya. Setelah berminggu-minggu di dalam sana. Apa lagi yang boleh dibuatnya? Apakah mungkin terdetik di hatinya – oh, begini rupanya perasaan dan realiti yang dihadapi oleh seorang banduan! Apatah lagi banduan politik yang tidak pernah melakukan jenayah sivil, namun dicaj atas kesalahan jenayah politik – mengkritik kebejatan dan korupsi kerajaan pemerintah!
            Tiba-tiba dia bangkit, mukanya berkerut-kerut. Kalau di tempat cerah, pasti sudah nampak wajahnya memerah akibat menahan sesuatu yang sangat kuat. Segera dilorotkan seluar kontot berwarna oren itu dan selangkah ke belakang dan terus mengcangkung atas mangkuk jamban. Ada tunjalan-tunjalan dari dalam perutnya, entahlah apa? Mungkin kerana makanan dalam kotak gelap tidak bagus rasanya. Muka yang mencuka masam, comot wajahnya. Jelas dampak betapa keseksaan yang sedang ditanggungnya. Tidak pernah dia terfikir jadi semacam ini. Semuanya sudah dirancang dengan teliti, kalau begini akan buat begitu, kalau begitu akan buat begini. Namun apakan daya, rancangan manusia dan Allah adalah penentunya.
            Mangkuk tandas itu antara teman barunya semenjak menjadi penghuni kotak gelap itu. Oleh kerana terlalu gelap dalam kotak itu, setiap kali dia melepaskan hajat dan membasuhnya, setiap kali itu juga dia tidak tahu apakah benar bersih kedua-dua elemen penting – tandas dan punggungnya? Air paip pula ada campur tangan politik semata-mata untuk menjatuhkan imej politik. Sungguh hina dan jijik kehidupan sebegitu, tidak dia sangka dirinya sendiri akan masuk ke sini. Benarlah dunia ini bulat, benarlah dunia ini ibarat roda, benarlah air pasang dan surut adalah sunnatullaha Rabbal alamin.
            Dia sarungkan semula seluar, wajahnya nul perasaan meskipun ada makhluk-makhluk Allah yang sedang memerhatikan gerak-gerinya. Jelas lukisan kedukaan tergaris-garis pada cembung wajah yang semakin melekuk. Wajah ini dahulu sentiasa menghiasi segala televisyen dan akhbar serta majalah dalam dan luar negara dengan kata-kata yang disebut dan diungkapkannya sentiasa dijadikan sebagai cuplikan, meskipun ucapannya pun orang lain yang buatkan. Mereka hanya baca sahaja, kadang-kadang tanpa persediaan. Justeru, bila ada istilah yang sedikit pelik berbaur Arab atau mana-mana tajuk buku yang dirinya sendiri pun tidak pernah tahu – maka tergagap-gagaplah jawabnya.
            Kini dia masih mendapat perhatian daripada media, namun bukan lagi kemegahan, keangkuhan dan kemewahan dengan ucapan billion dan million yang menjadi laporan bahkan sebaliknya. Ternyata teori Ibnu Khaldun mengenai tamadun yang dikatakan bagaikan roda juga relevan kepada seorang manusia apatah lagi jika dia adalah seorang pemimpin kepada sebuah regim. Kini tiada apa-apa lagi, sut mewah, rumah agam nan tersergam, kenderaan jenama terkini dan sungguh selesa. Ini dia di dalam kotak gelap ini, cahaya matahari pun jarang dia nampak sekarang.
            Dia kembali terbaring dengan mengiring. Tangan kanan menjadi bantal. Wajahnya masih mencuba. Tangan kiri menggaru-garu di sana sini, kadang-kadang di depan kemudian di belakang badan pula. Kadang-kadang di betis kadang pula di dalam seluar dan baju. Nenyamuk kembali mengganas, tanpa belas terus membuat rondaan ke atas batang tubuh manusia berdarah bangsawan itu. Ya, sudah namanya nyamuk, memang makanannya adalah darah. Kalau dulu habis darah jelata dihirup dihisap tanpa belas, kini giliran nyamuk-nyamuk ini pula yang menghisap tanpa belas. Kulit mulusnya yang putih melepak itu ternyata sudah banyak bintik-bintik merah dan hitam akibat menjadi habuan sang nyamuk dan kawan-kawan.
            Tiba-tiba, terdengar suara tangisan. Tersedu-sedan bagaikan anak kecil yang kehilangan bonda mereka tatkala sedang ralit membeli-belah di pasar raya. Bukan tidak pernah berlaku, malah ada yang terus diculik dek kerana kecuaian ibu bapa mereka sendiri. Tapi tangisan dalam kota gelap ini sangat mengharukan, malah daripada kesayupan dan kejauhan sangat mengerikan! Tangisan jenis apakah ini, apakah tangisan penyesalan, atau tangisan peratapan, atau tangisan kegeraman? Hanya diri si dia sahaja yang mengerti akan dirinya sendiri.
            Nyamuk-nyamuk yang asalnya mahu melakukan serangan secara kamikaze segera diarahkan agar berhenti seketika oleh raja mereka. Hinggap kesayuan di hati raja sekalian nyamuk-nyamuk itu mendengar sedu-sedan yang kemudian bertukar menjadi ratapan. Ah, sungguh berat sekali beban yang tertanggung olehnya, fikir Raja Nyamuk. Kalau dikendurikan pula batang tubuhnya yang tersisa lemak bangsawan dan kuasawan itu entahlah bagaimana pula dirinya kelak.
            Raja Nyamuk harus segera mencari alasan untuk pengikutnya. Sudah ada yang berbisik-bisik sesama mereka. Membuat tafsiran, malah sudah ada yang menulis status di Facebook dan Twitter dengan nada menyindir secara halus mahupun kasar. Raja Nyamuk juga perasan kerana dia juga ada sebuah iPad 7 yang dilancarkan. Ada status berbunyi - Nampaknya ada yang nak makan seorang, atau untuk kroni-kroni sahaja. Dasar nepotisme yang kian membarah tidak terhakis juga. Kata mahu transformasi, kata mahu demokrasi sejati, kata mahu mobilisasi, kata mahu sana-sini!
            Raja Nyamuk sedang tertekan. Diluah mati emak, ditelan mati bapak. Dia perlu membuat keputusan segera atau padahnya ada pemberontakan daripada muda-mudi nyamuk sekalian. Dunia nyamuk sudah semakin kompleks semenjak demokrasi menjadi jalur hidup mereka. Kalau dulu sesiapa yang menjadi raja berkuasa penuh, malah mahu membunuh sesiapun, suruh mereka membunuh diri sendiri, disuruh menyerahkan anak dara mereka malah apa sahaja. Tidak menjadi masalah. Namun kini demokrasi, semua perlukan majoriti. Malah dirinya juga walaupun ada darah bangsawan persis di dia penghuni kotak gelap itu namun boleh sahaja dia menjadi orang biasa-biasa daripada orang ada-ada.
            Ya, demokrasi membawa kompleksiti kepada kuasawan yang diktator malah mahu jadi tuhan di muka bumi ini. Raja Nyamuk mahu berhelah, agar kedudukan tidak tergugat dan namun dalam masa yang sama seluruh anak buahnya puas hati dengan keputusan yang diambil. Dia kemudian mengambil keputusan untuk berpidato kepada mereka semua. Begini pidatonya – Para pejuang nyamuk sekalian, saya faham kita perlukan darah untuk teruskan kehidupan kita. Namun apakah kita lupa bahawa kita juga adalah kaum yang punya harga diri dan adat, kita punya asas prinsip yang menjadi tunjang keharmonian kita selama ini. Bukankah kita kaum yang cintakan kedamaian dan kemakmuran meskipun usul asal kita di tempat yang kotor dan jijik, namun ia tidak lebih jijik daripada manusia yang punya hati nurani namun tidak menggunakannya. Apatah lagi manusia yang punya kuasa yang dipinjamkan Allah, namun dengan wewenang menggunakan kuasanya untuk menindas, merampok, merasuah, menzina, memabuk dengan sewenang-wenangnya.
            Justeru, saya mohon untuk kita pergi berbual-bicara berunding kira dengan si dia itu, lagipun dia nampaknya sudah tidak bermaya dan kesedihan pula. Mesti dia ada masalah yang menduka cita. Apa kata saudara sekalian? Tepukan dan sorakan bergempita dalam masa yang sama nyamuk-nyamuk yang sudah lama menyampah dengan sistem feudal selepas berabad dieksploitasi oleh mereka yang bergelar raja untuk bertindak seperti tuhan.
            Berdengung sekalian geng nyamuk. Ada yang positif dan ada yang negative, kata sepakat payah dicapai dalam keadaan ini. Selepas beberapa ketika ternyata kata sepakat masih belum dicapai lagi. Raja sudah keresahan. Kemudian menteri perdana nyamuk yang dari tadi hanya berdiamkan diri bersuara – begini sahaja, wahai sekalian warga nyamuk. Bukankah kita kaum demokrasi, kenapa tidak sahaja kita mengundi untuk membuat keputusan ini.
            Tangisan semakin keras, esakan semakin panjang, seduan semakin mendalam. Desakan daripada orang bawahan semakin mendesah. Suasana menjadi semakin genting, pandangan setiap nyamuk semakin ganas, mata masing-masing menggambarkan betapa mereka sangat marah. Kalau dibiarkan keadaan ini, buruk padahnya. Kelaparan adalah sumber kekuatan dan kemarahan yang paling berkesan untuk menggulingkan kerajaan, sama ada kerajaan kepresidenan atau kerajaan kerajaanan.
            Kemudian sorakan mengundi... mengundi... mengundi... bergegeran di sana sini dilaungkan oleh sekalian nyamuk. Semakin lama semakin kuat, Raja Nyamuk sudah tiada pilihan melainkan menurut sahaja. Menteri perdana mengambil kesempatan untuk melaungkan idea demokrasinya sekali lagi. – nampaknya, tuanku sudah bersetuju untuk kita mengadakan undian. Majoriti akan mempunyai kuasa untuk membuat pilihan. Dalam hatinya dia berkata – Hmmm, mampuslah nyamuk tua ini, kau akan jadi raja terakhir kami. Sudah cukup banyak kesusahan dan kebodohan yang keturunan kamu bawa. Malah keturunan kamu tidak sombong untuk mengambil alih tugas Tuhan dalam menjatuhkan hukuman kepada mereka yang tidak patuh atau berselirih pendapat dengan mereka. Kezaliman keturunanmu sudah sampai kemuncak.
            Raja Nyamuk terdiam seribu kata. Dia tahu hayatnya sebagai seorang raja boleh tamat bila-bila masa. Meskipun dia cuba memperbaiki dan membaik pulih pentadbiran dengan pelbagai rancangan transformasi namun semuanya seakan sudah terlambat. Bukan salah dirinya semata-mata, kerana ia adalah hasil daripada peninggalan beberapa warisan lampau yang maha zalim. Keadaan semakin tegang... antara kedua pihak, perdana menteri yang pernah tinggal di barat dan ingin membawa idea baru demokrasi menanti masa untuk melakukan reformasi, namun dia berhati-hati kerana demokrasi dengan rampasan kuasa tidak lebih daripada sama sahaja dengan kedaan raja-raja dahulu yang asalnya lanun menjajah dan merampas.
            Menteri Perdana mahu demokrasi berjalan sebaik mungkin, mendapat dokongan daripada jalur kiri dan kanan. Bertanding dengan telus dan bersih sama sekali, dan dia yakin dengan prestasinya selama menjadi menteri perdana selama ini, ramai sudah yang menyatakan sokongan dan dokongan kepadanya. Sudah lama kempen-kempen senyap dilakukan, dengan menabur wang dan budi kepada sekalian yang memerlukan atas namanya sendiri. Malah dia mengisytiharkan dirinya sebagai wakaf kepada rakyat jelata. Siapa yang tidak cair dan kasih akan dia sekarang ini?
            Tiba-tiba!
            Satu laungan yang maha kuat dan dahsyat meletus, bagaimana atom di Hirosima dan Nagasaki dalam kapasiti kaum nyamuk sekalian.
            “Berambus!!! Berambus kamu semua dari sini!!! Tahukah kamu semua siapa aku, hah!!?” Rupa-rupa penghuni kotak gelap yang meraung ganas kerana tergganggu dan tertekan dengan dengungan bala nyamuk yang bermain di perbatasan. Bunyi-bunyian dan dengung-dengungan itu sangat mengganggu dirinya sehingga jantungnya berdetup kencang dan darahnya mendidih-didih.
            Berulang-ulang dan berkali-kali tempikan itu. Kaum nyamuk bercempera lari kembali ke sarang mereka. Ternyata mereka hampa, dan kemarahan terhadap Raja Nyamuk semakin membara, feudalisme klasik yang cacamerba tiada berguna. Zaman ini bukan lagi zaman raja jelmaan dewa dan sultan bayangan tuhan di bumi. Zaman ini adalah zaman maqasid syariyyah, zaman keadilan sosial sebagaimana yang dituntut Ilahi melalui utusan-utusan-Nya yang terdahulu dan terakhir.